
Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
BAB 1
ADAKAH ANDA INSAN CEMERLANG?
“Semua orang sama disisi Allah melainkan orang yang bertakwa”.
Orang yang bertakwa ialah golongan insan cemerlang yang akan mendapat keredhaan dan rahmat Allah. Subhanallah, tiada nikmat yang dapat kita dustakan kurniaan Allah kepada kita sebagai khalifah di muka bumi. Manusia menurut Dr Zakir Naik merupakan ciptaan Allah yang terpilih yang bersetuju menerima tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain.
Tugas kita sebagai hamba Allah yang terpilih ialah untuk sentiasa bertakwa kepada Allah dan bertaubat daripada segala dosa kita pada masa lalu. Seterusnya bertawakal kepada Allah yang akan menentukan qada dan qadar kita. Jadikan Allah sentiasa utama dan nombor satu.
Saya tertarik dengan doa yang dititipkan Ustaz Kazim Elias (2015) dalam bukunya Cukup Hanya Allah. “Ya Allah, kuatkan hatiku untuk menempuh kehidupan di dunia ini, walau bukan setiap detik hati ini kusandarkan dalam mengingatiMu. Namun sering kumohon perlindungan daripadaMu wahai TUHANku. Semoga diri ini terus berada dalam pemeliharaanMu. Maka, cukup hanya ENGKAU..” Doa ini juga disertakan ayat yang sangat memberi kesan kepada diri saya iaitu “ketika diri tidak punya siapa-siapa, DIA datang membawa rahmat. Lantas, hanya DIA tempat bersandar, hanya DIA tempat meraih ketenangan. Jika dalam hati tiada iman, pasti lorong kegelapan akan diredahi. Mujurlah... dengan adanya DIA kita hidup. Dengan kasih sayangNYA jiwa tidak lagi kecewa. ALLAH... ENGKAU adalah segala-galanya”.
Pasti anda tertanya-tanya bagaimana insan cemerlang itu, adakah anda pernah berjumpa dengan insan cemerlang? Jika ditanya saya sejujurnya belum pernah bertemu insan cemerlang semua sudut, namun mendengar tentang seseorang yang ada ciri ini pernah, iaitu junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Namun mampukah kita sebagai manusia biasa untuk menjadi insan yang cemerlang seperti Rasulullah... Wallahualam.. hanya Allah yang mengetahui.
Siapakah Nabi Muhammad s.a.w?
Menurut Muhammad Shadiq Al- Minsyawi (2008) Nabi Muhammad ialah seorang insan terpilih daripada bangsa Arab keturunan suku Quraisy yang tidak pernah menipu, berakhlak mulia, bijaksana, nabi yang paling ramai pengikut, paling berpengaruh di dunia, seorang yang paling lemah lembut yang tidak pernah kasar kepada orang lain tanpa mengira agama. Malah, barang siapa yang melihatnya, nescaya dia akan menghormatinya, barang siapa yang berkumpul dengannya, nescaya dia akan mencintainya. Baginda seorang yang sangat baik sikapnya, tidak pernah memburukkan sesuatu apapun dan tidak pernah mencela seseorang.
Baginda ialah sebaik-baiknya orang yang berjalan di atas kedua belah kakinya, sebaik-baik orang yang diutus untuk umatnya, sebaik-baik orang yang mengerjakan solat, puasa dan haji. Di tangan baginda, terdapat batu tasbih dan batu mengucapkan salam kepada baginda.
Sheikh Ahmad Deedat (2013) mengatakan Nabi Muhammad mempunyai tanda kenabian di tapak tangannya dan hal ini juga diketahui oleh ahli kitab Nasrani atau paderi Kristian dan turut dimaklumkan dalam teks-teks Bible daripada Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru (Injil) agama Kristian yang membuktikan tentang kedatangan seorang Rasul akhir zaman yang menjadi pelengkap dan penyudah sekalian Rasul. (“Dan ingatlah ketika Isa Putera Maryam berkata: Hai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu membenarkan kitab yang turun sebelumku iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan ketibaan seorang rasul yang akan datang sesudahku, namanya AHMAD” Surah Assaff ayat 6).
Pernah seekor unta mengadu kepada baginda, sebatang tunggul kurma menangis di depan baginda, air keluar dari jari-jarinya, seekor serigala bersaksi atas risalah yang disampaikan oleh baginda, makanan sedikit bertambah menjadi banyak kerana keberkatannya, awan menaungi baginda walau kemana sahaja baginda berada dan banyak lagi tanda-tanda keberkatan yang membuktikan nabi Muhammad sebagai seorang nabi yang Allah sucikan di atas seluruh alam. Itulah yang dapat saya gambarkan tentang insan cemerlang iaitu Nabi Muhammad s.a.w (merupakan singkatan bagi sallallahu alaihi wassalam yang bermaksud Allah merahmati Nabi Muhammad) (p.b.u.h peace be upon him). Mudah-mudahan pembaca dapat membayangkan tentang insan cemerlang yang saya maksudkan yang sepatutnya menjadi idola setiap umat Islam di dunia ini.
Saya melihat insan cemerlang ini, melalui sudut cemerlang pada satu-satu aspek atau mungkin lebih. Walaupun kita merasakan diri kita tidak dapat memenuhi semua ciri-ciri kecemerlangan dalam semua aspek. Namun tiada salahnya jika berusaha untuk mencapai kecemerlangan ini. Samaada insan cemerlang dalam akademik, sebagai ibu atau bapa, cemerlang sebagai anak yang sering mengembirakan ibu bapa, atau cemerlang sebagai pelajar yang disenangi oleh guru, cemerlang sebagai kawan, jiran atau cemerlang sebagai hamba Allah. Pentingnya, sebagai manusia untuk memiliki impian dan cita-cita untuk menjadi insan cemerlang. Mempunyai matlamat dalam hidup adalah sangat penting bagi memotivasikan kita dan memberi makna dalam kehidupan kita.
Hal ini kerana, saya percaya hidup tanpa tujuan dan agama umpama layang-layang yang putus tali yang akhirnya akan memusnahkan layang-layang itu atau analoginya hidup kita akan musnah jika kita tiada matlamat hidup dan tiada agama yang dipegang untuk dijadikan panduan dalam melayari kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran ini.